Jalan Menuju Mu [part 1]

Hidayah, taufik, cinta Allah malah syurga yang diimpikan umpama angin lalu sahaja. Kita tahu ianya ada, kita rasa kehadirannya, kita boleh merasai nikmatnya sebentar bila dibayangkan secara samar-samar tetapi, kita tidak pernah teringin untuk mengejarnya. Siapa saja yang akan mengejar angin??

“Hidayah tak sampai lagi.”

Sering kali kita mendengarnya dan Alhamdulillah, sudah ramai yang faham akan kelemahan ayat itu. Namun, masih lagi, kita tidak mampu melangkah dan mencari, mengejar hidayah Allah apatah lagi bila berbicara tentang cinta Allah yang selalunya hanya dicop khas untuk golongan ustaz-ustazah sahaja. Mungkinkah kerana kita menganggapnya sesuatu yang terlalu besar untuk digapai?

Walau apapun yang kita rasa, letaklah di tepi dahulu, kerana jalan menuju Allah bukannya satu pilihan sebenarnya, tetapi, Allah yang telah memilih kita untuk berada di landasan yang sepatutnya kerana Dia jualah yang mengawal hati kita. Namun haruslah kita ingat, janganlah sia-siakan nikmat yang telah diberi dan usaha kita menuju ke arah Nya itu penting sebagai tanda kita bersyukur kepadaNya.

Analoginya seperti situasi berikut:

Lelaki : Saya cintakan awak, sudikah awak mengahwini saya.
Wanita: (senyum sebentar lalu pandang dengan pandangan kosong)
Lelaki : Saya akan berikan berlian dan emas permata sebagai mahar. Sebagai permulaan, terimalah cincin berlian ini sebagai tanda cinta.
Wanita: Owh, terima kasih. (lalu berlalu pergi)

Sangat pelik keadaan itu, bukan?

Marilah kita menjadi insan yang berusaha menuju ke arahNya.

Allah telah berfirman:

“Wahai orang-orang yang beriman! Bertakwalah kepada Allah dan carilah wasilah (jalan) untuk mendekatkan diri kepada-Nya, dan berjihadlah (berjuanglah) di jalanNya agar kamu beruntung.”
[Surah Al-Maidah : 35
]

Sekali lagi, marilah sebelum itu kita bersyukur dengan kurniaan yang telah Allah berikan kepada kita, akal, tubuh badan, iman, Islam dan jika ingin disenaraikan, itu antara perkara yang mustahil dilakukan kecuali dengan izin Allah.

Berbalik kepada ayat al-Quran di atas, memang senang untuk difahami. Banyak yang boleh diungkapkan dari ayat di atas. Malah, selama berlakunya perkongsian ilmu di mana-mana majlis, ayat ini memang sangat menarik untuk dibincangkan.

Namun, bagaimana pula dengan pengamalannya dalam kehidupan seharian?

Jadi, marilah kita renungi sekali lagi ayat tersebut:

“Wahai orang-orang yang beriman! Bertakwalah kepada Allah dan carilah wasilah (jalan) untuk mendekatkan diri kepada-Nya, dan berjihadlah (berjuanglah) di jalanNya agar kamu beruntung.”
[Surah Al-Maidah : 35]

Dalam ayat di atas, terdapat beberapa perkara yang boleh dijadikan panduan untuk menuju ke arahNya. Perkara-perkara asas sebagai seorang muslim.

Pertama-tamanya, beriman. “Wahai orang-orang yang beriman!” Selidik kembali diri kita, adakah kita seorang yang beriman kepada Allah? Apakah makna iman sebenarnya? Sudah pastinya jawapan skema Pendidikan Islam dulu masih segar bugar di kepala kerana perlu di ulang-ulang selalu. Namun, adakah hanya diingati di dalam memori kenangan sekolah atau benar-benar di semat di hati, Tepuk dada, tanyalah iman..

Baiklah, dari segi bahasa, iman didefinisikan sebagai percaya atau pembenaran hati. Manakala, dari segi syarak, iman bermakna membenarkan dengan hati, mengakui dengan lidah dan mengamalkan dengan anggota badan. Tetapi, bagaimanakah anda mendefinisikan iman dalam kehidupan anda?

Membenarkan dengan hati, sudah tentunya cuma Allah sahaja yang tahu dan mampu menilainya juga tidak dilupa diri kita sendiri. “Membenarkan dengan hati” maksudnya menerima segala apa yang dibawa oleh Rasulullah saw. Keyakinan. Ukurlah iman di hati sendiri dan janganlah kita mengukur iman orang lain kerana ianya hanya akan membawa ke arah sifat buruk sangka. Siapakah Allah di hati kita? Yakinkah kita dengan apa yang disampaikan Raslullah SAW.

Kemudian, perlu pula mengakui dengan lidah. Maksudnya, mengucapkan dua kalimah syahadah, syahadah “Laa ilaha illallahu wa anna Muhammadan Rasulullah” (Tidak ada sesembahan yang hak kecuali Allah dan bahawa Muhammad صلى الله عليه و سلم adalah utusan Allah) Ianya merupakan sesuatu yang semua orang mampu lakukan. Malah, ada juga yang bukannya seorang Islam, mampu mengucapkan kalimah syahadah juga mengakui kehebatan Allah. Jadi apakah yang membezakan kita dengan mereka? Hati sudah tentunya tidak dapat kita bezakan, sedangkan iman kita sendiri pun sukar untuk diukur. Lidah, sudah pasti bisa bicara segalanya cuma bezanya mungkin bahasa dan loghat. Oleh itu, tidak lain dan tidak bukan, perkara yang mampu membezakan  iman antara kita manusia, adalah amalan kita.

Mengamalkan dengan anggota badan. Tidaklah di sini bermaksud, kita boleh menilai iman seseorang hanya dengan melihat amalannya. Namun, ingin saya tekankan di sini, perbuatan kita itulah yang membezakan antara kita yang benar-benar percaya pada Yang Esa atau mereka yang kufur pada-Nya. Kadang kala kita tidak sedar iman kita sebenarnya berada di takuk yang bahaya atau lebih mudah dikatakan, kita tidak sedar pun kita telah mengingkari seruanNya kerana sesetengah orang mempunyai perpektif tersendiri. Dan, kebanyakan masa, kita terlalu ambil mudah dalam sesetengah perkara. Malah, maksud mengamalkan dengan tubuh badan adalah,  mengamalkannya dalam bentuk ibadah-ibadah sesuai dengan fungsinya.

“Ya, saya Islam. Cuma, saya rasa tak sampai seru lagi nak tutup aurat dengan sempurna.”
“Ya, Allah itu Maha Esa.  Ala..solat, kita boleh buat kemudian. Main bola dulu.”
“Memanglah Allah tu ada, tapi Allah kan Maha Kuasa, kalau kita tak solat pun tak apa. Bukannya efek Allah pun”

Jadi, bagaimana iman kita saat ini? Bagaimanakah kita ingin menghindari terjadinya perkara begini? Ada pelbagai cara yang mampu dilakukan,namun, di sini, saya hanya mampu kongsikan dua langkah sahaja yang insyaAllah boleh membantu.

Langkah pertama : Menuntut ilmu. Sesungguhnya menurut Imam al-Ghazali, “ilmu tanpa amal adalah gila dan pada masa yang sama, amalan tanpa ilmu merupakan suatu amalan yang tidak akan berlaku dan sia- sia.” Dan dengan ilmu sahajalah kita mampu memahami dan mendalami serta menghayati erti hidup sebagai seorang Islam. Soalnya, bersediakah kita atau mahukah kita mencari ilmu itu. Tidaklah susah, hanya dengan menghadiri kuliah agama, usrah malah pengajian dalam kelaspun boleh mendapat ilmu itu walaupun sedikit. Malah, dalam sains, biologi, kimia dan sebagainya pun merupakan ilmu Allah juga, cuma diperlukan penghayatan di dalamnya. Tanpa ilmu, pemikiran kita akan tertutup dan akhirnya segalanya akan berakhir dengan logik akal semata-mata.

Terpulanglah kepada kita. Inginkah kita melangkah melalui jalan yang bakal berliku demi mengejarNya? Bersediakah kita untuk berkorban dunia yang sementara? Dan andai ragu-ragu, tanyalah diri kita, sampai bila lagi kita ingin memberi alasan untuk menafikan kepentingan dalam mengorak langkah menujuNya? Atau mungkinkah kita sebenarnya menafikan kekuasaanNya?

Langkah Kedua : Semai perasaan malu.

Dalam satu hadis bermaksud :

“Sifat malu dan iman itu seiringan. Jika salah satu ditinggalkan, maka keduanya akan hilang.”
(Hadis riwayat Baihaqi)

Maka, wujudkanlah sifat malu dalam diri kita dengan sebaiknya dan kena pada tempat dan keadaannya. Jangan pula malu untuk menegur saudara kita yang lain, atau malu untuk melakukan kebaikan, tetapi malulah kepada Allah atas perbuatan-perbuatan kita. Dengan izin Allah, malu itu mampu menjaga iman kita dan mengehadkan kealpaan kita dalam mengamalkan dengan anggota badan. Hal ini kerana, tidak ada manusia yang membuka aurat, tidak ada manusia yang meminum arak, berzina, membunuh dan sebagainya melainkan tiada sifat malu dalam diri mereka. Kerana malu padaNya itu pengekang nafsu duniawi kita. Konklusinya, malulah kita kepada Allah demi iman terjaga. Wallahualam..

Iman. Berimankah kita sebenarnya? Ingatlah, tanpa iman, menuju Allah itu umpama kapal tidak berlayar.

[InsyaAllah, akan bersambung…]

Semoga bermanfaat.

Advertisements

About Annur

Penulis merupakan seorang pelajar lepasan Matrikulasi Johor yang kini sedang menuntut di UPM.

Posted on November 1, 2012, in Dakwah. Bookmark the permalink. Leave a comment.

Tinggalkan komen anda

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: