Mujahadah Cinta

Dengan nama Allah Yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang.

Sering kita ucapkan namun penghayatannya kurang, maka, sebelum kita teruskan membaca, banyakkan istighfar dan bersyukurlah dengan segala nikmat yang telah Allah beri kepada kita termasuklah, perasaan kasih dan sayang yang dimiliki oleh kita semua. Cinta yang hadir dengan izin-Nya Yang Maha Kuasa.

Mujahadah cinta. Mujahadah cinta itu tidak lain dan tidak bukan, satu pengertian keseluruhan yang membawa maksud, melawan atau mengekang nafsu ‘suka’ kita terutamanya yang sedang bercinta dan sebagainya. Namun, orang kata, kalau kita cintakan seseorang, jangan lawan perasaan itu, jangan sesekali kita cuba menafikan kerana cinta itu perlu digapai. Jadi, buat apa kita perlu bermujahadah? Bukan ke secara dasarnya mujahadah itu adalah jihad, jadi, kenapa perlu nak aplikasikan jihad itu dalam percintaan. Tidak masuk akal! HAK BERCINTA HAK KAMI!

Jadi, kenapa perlunya mujahadah cinta? Sebabnya adalah kerana kita mahukan cinta yang berkualiti! Cinta yang diredai! Dan cinta yang ‘high-class’ bak kata Ustazah Fatimah Syarha.

“Aku cintakan dia sepenuh jiwa raga aku! Gunung berapi, sanggup ku daki, lautan luas sanggup ku renangi! Tak cukup berkualiti lagikah cintaku untuk dia?”

Sebelum kita katakan tentang itu, bagaimana pula dengan lafaz yang sudah sebati dengan kita sebagai muslim:
“Katakanlah(Muhammad), sesungguhnya solatku, ibadatku, hidupku, dan matiku hanyalah untuk Allah, Tuhan seluruh alam.”
[6:162]

Sejauh mana kualiti cinta anda untuk-Nya? Tidakkah itu yang penting?

“Alah,, tu cinta Allah. Ni kita cakap tentang cinta manusia. Kami nak berkasih sayang pun tak boleh ke? Bukan ke memang itu galakan Islam untuk kita umat ni, iaitu untuk berkasih sayang?”

Soalnya saudaraku,  dari manakah hadirnya perasaan cinta itu jika tidak dari Allah SWT?

“Dan di antara tanda-tanda (kebesaranNya) ialah Dia menciptakan kamu berpasang-pasangan untukmu dari jenismu sendiri, agar kamu cenderung dan merasa tenteram kepada-Nya, dan Dia menjadikan di antara kamu rasa kasih dan sayang. Sungguh pada yang demikian itu benar-benar terdapat tanda-tanda (kebesaran Allah) bagi kaum yang berfikir.”
[30:21]

Maka, jika cinta itu datang dari Allah, logikkah bila kita membezakan dan mengasingkan antara cinta Allah dan cinta pada si dia. Dan sesetengah insan kata, mereka bercinta kerana Allah,  namun secara logiknya, perlukah kita meminta cinta pada sesama manusia untuk dapat cintaNya, atau sepatutnya kita meminta cinta pada-Nya agar terus bersemi cinta antara manusia?

Sekiranya, kita bercinta dengan meletakkan Allah di tepi, sudah tentunya tidak ada batasan syariat dalam perhubungan itu, bukan? Dan bukankah Allah sendiri berfirman,

“Dan janganlah kamu mendekati zina, sungguh itu perbuatan keji dan suatu jalan yang buruk”
[17:32]

Saudaraku, ingatlah, selagi mana kamu menjaga Allah, Allah akan menjagamu dan pastinya, Allah akan menjaga hubungan kamu dengan sesama manusia.

“Tapi, aku terlalu sayangkan awek aku, aku terlalu sayangkan tunang aku. Aku terlalu sayang!”

Dan di situlah perlunya mujahadah cinta. Bersungguh-sungguh dalam menjaga dan mengawal nafsu serta perasaan terhadap pasangan kita terutamanya, juga pendorong untuk  mengikut syariat Allah.

Apakah caranya untuk bermujahadah? Tarik nafas. Istighfar. Ucapkanlah aku cinta Allah, dan kepada Allah aku berserah diri, sesungguhnya, aku hanyalah hamba yang bersedia untuk mengabdikan diri kepadaNya.

Berikut adalah solusinya, insyaAllah:

Pertama-tama sekali, putuskan hubungan itu. Putuskan sekiranya ia hanya semata-mata hubungan “couple”. Tidak ada masalah bukan? Dan bukan hanya couple sahaja, tetapi buat mereka yang telah terjatuh cinta dan sebagainya, jauhkanlah diri darinya dan letakkanlah benteng batasan yang merupakan syariat agama antara kita dan dia. Sesungguhnya, untuk mengelakkan dari maksiat, dan dari terus melakukan kesalahan, kita haruslah hilangkan dulu puncanya.

Takut kehilangan? Takut dikecam oleh pasangan kita? Terlalu sayang sampai tak sanggup berpisah? Maka ingatlah, hanya kepada Allah kita berserah diri dan hanya dari Dia, kebahagiaan dan keredaan itu datang. Yakinlah dengan Allah, bahawa Dia akan menetapkan yang terbaik. Tambahan lagi, bukankah hubungan di bina atas dasar kepercayaan. Jika benar si dia juga cintakan kamu, maka, dia juga akan faham dan dia juga akan menjagamu agar tidak terpesong dari jalan-Nya. Bercinta biar sampai ke Syurga!

Kedua, khas buat yang bertunang. Terutamanya yang bertunang untuk masa yang lama, kerana, ibu bapa tidak membenarkan kahwin semasa dalam proses pembelajaran contohnya, beristighfarlah banyak-banyak dan hadkan seminima yang boleh hubungan antara kamu berdua. Ada yang penat memujuk rayu pada ibu bapa agar benarkan perkahwinan awal dengan sebab, takut tidak mampu menjaga, namun, ingatlah Allah juga yang memegang hati-hati ibu bapa kita. Sekiranya, Dia kehendaki, pastinya ibu bapa kita akan merasa terbuka untuk benarkan perkahwinan itu. Sekiranya tidak, mungkin Allah yang menentukan begitu sebagai satu dugaan dan cabaran juga satu medium untuk kita mengubah diri kita ke arah lebih baik juga untuk kita bersedia membina keluarga Islam yang hebat dalam masa pertunangan itu.

Kuatkanlah hatimu dengan iman, dan semoga keluarga yang bakal terbina akan lebih hebat. Generasi yang hebat bermula dengan diri kita sendiri sebagai individu muslim.

Akhir sekali,  perkara yang paling penting dalam kehidupan kita sebagai seorang muslim, iaitu “DOA”. Berdoalah kepada Allah, dan mohonlah kekuatan dari-Nya kerana segala-galanya datang dari Allah Yang Maha Esa! Dan berdoalah agar dipermudahkan jodoh dan agar terjaga hubungan kita antara sesama manusia. Tuntutlah cinta dari Allah Yang Esa.

Akhir kata, mungkin ramai yang tidak sanggup memutuskan atau menjarakkan diri tetapi, pandanglah kembali diri kita, dan ingatlah siapakan yang mencipta kita. Sesungguhya, setiap batasan Allah itu ada hikmahnya, maka tunaikanlah kewajipanmu, ikutlah suruhan-Nya, dan tinggalkan larangan-Nya. Hanya dengan itu, kita akan merasai kebahagiaan di penghujungnya, insyaAllah.

Sekian, semoga bermanfaat.

“Dan orang-orang yang berkata, Ya Tuhan kami, anugerahkanlah kepada kami, pasangan kami dan keturunan kami sebagai penyenang hati, dan jadikanlah kami pemimpin bagi orang-orang yang bertakwa”
[25:74]

Advertisements

About Annur

Penulis merupakan seorang pelajar lepasan Matrikulasi Johor yang kini sedang menuntut di UPM.

Posted on November 13, 2012, in Dakwah. Bookmark the permalink. Leave a comment.

Tinggalkan komen anda

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: